February 20, 2009

Pendapat, Prinsip dan Buah Fikiran

Aku rasa macam mahu luahkan sesuatu sebagai topik untuk blog ni tapi aku tak tahu apa dia. Aku ingin menulis tentang sesuatu secara rawak. Mungkin aku boleh ceritakan tentang prinsip hidup, pendapat dan sebagainya.

Dahulu, aku sering merasakan yang aku ni bernasib malang apabila sesuatu kejadian menimpa aku tapi kini aku sedar bahawa apa yang berlaku adalah dugaan daripadaNya. Setiap kali perkara buruk menimpa aku, aku sentiasa yakin bahawa Tuhan Yang Maha Esa mengujiku dengan kekuasaanNya, dengan perkara yang telah ditetapkan olehNya. Setakat ini telah banyak perkara buruk yang menimpaku. Apabila aku memikirkan kesemua perkara buruk itu semula, satu perasaan muncul dalam diriku kerana aku telah menempuh pelbagai benda dalam hidup dan aku masih boleh berfikiran waras serta tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk membunuh diri, mengambil dadah atau yang sewaktu dengannya walau pun aku telah mengalami pelbagai perkara yang memberi aku tekanan yang sangat mendalam.

Bercakap pasal perasaan, siapa yang tidak menaruh perasaan pada seseorang. Aku tidak terlepas daripada dibelenggu perasaan yang aku bolehlah kata rasa yang aku paling takut untuk rasai buat masa ini. Aku pernah menaruh perasaan pada rakan sekelas, bekas kekasih teman baikku, kekasih kepada sahabat karibku, dan perempuan yang berjauhan. Walau bagaimana pun, tiada seorang pun yang berjaya aku pikat. Boleh dikatakan sebabnya sama ada aku tidak mempunyai karisma, tidak menepati ciri-ciri jejaka idaman, perempuan tersebut jual mahal dan kerana aku ni tidak kacak dan skema pada pandangan si dia. Apabila aku gagal, aku patah hati. Banyak kali juga aku patah hati, tapi aku tetap teguh berdiri.

Setiap kali aku jatuh, aku akan bangun semula. Setiap kali aku gagal, aku yakin semua itu adalah sebab aku tidak berusaha bersungguh-sungguh. Aku percaya sekiranya aku berusaha bersungguh-sungguh, tiada sebab kenapa aku harus gagal melainkan memang sudah ditakdirkan begitu. Selepas berusaha bersungguh-sungguh, apa yang harus kita lakukan adalah bertawakal, berserah kepadaNya. Bila aku dalam kesusahan, aku sering berharap agar Dia membantuku, aku berharap Dia akan menemaniku dalam kesusahan yang sedang aku lalui.

Aku mempunyai pelbagai pengalaman yang menakutkan. Aku pernah berjalan seorang diri di kawasan sekolah pada waktu tengah malam sebagai salah satu aktiviti pengakap, aku pernah mengalami macam mana rasanya bila kita lemas dan fikir kita akan mati begitu sahaja, dan aku juga pernah merasai pengalaman dikejar anjing sehingga aku jatuh dan cedera parah. Dalam semua perkara yang berlaku yang dinyatakan, aku sering meminta bantuan daripadaNya ketika menghadapi kesemua perkara tersebut dan berterima kasih dan bersyukur padaNya setelah kesemua perkara itu berlalu...

Bercakap pasal perubahan, hidup aku juga telah banyak berubah kini berbanding dahulu. Ahli keluargaku telah bertambah dan berkurang. Bertambahnya ahli keluargaku apabila kakakku melahirkan anak saudaraku. Berkurangnya ahli keluargaku apabila atukku telah pergi buat selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi ke sisiku. Ini merupakan lumrah dalam hidup. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Yang datang pasti akan pergi. Hal ini juga merupakan satu lagi perkara yang paling aku takuti dalam hidup. Aku takut apabila suatu hari nanti, aku akan kehilangan semua orang yang aku sayang. Apabila teringat tentang perkara tersebut, aku berasa takut. Sepanjang hidupku, pasti aku akan bertemu ramai orang dan apabila tiba waktu berpisah, terutamanya mereka yang memberikan kesan positif dalam hidupku, ia merupakan perkara yang paling tidak aku senangi.

Apa pun yang berlaku pada aku, biar perkara itu baik atau buruk, sama ada aku nak atau tidak, itu semua telah ditakdirkan dan aku terpaksa juga tempuhi kesemuanya hingga ke akhir hayatku, hingga aku menghembuskan nafasku yang terakhir.

February 19, 2009

Siapa Aku?

Nama penaku ialah Rimara. Aku dilahirkan pada tahun 1992 di Pahang. Sejak bakatku dalam penulisan disedari oleh aku sendiri dan diiktiraf oleh beberapa orang yang aku kenali dan hormati, aku memasang cita-cita untuk menjadi seorang penulis. Namun, bukan itu saja impianku. Aku turut memasang cita-cita lain. Beberapa daripadanya ialah menjadi seorang pelukis dan usahawan. Selain itu, aku mempunyai banyak hobi. Antaranya ialah melukis, membaca, menulis, menonton televisyen, mendengar muzik, main permainan video dan menghias bilik. Hobi-hobi yang aku lakukan ini membantu aku dalam mencari idea untuk menulis. Selain itu, pengalaman pahit aku sendiri juga turut memberi aku inspirasi. Aku tidaklah memilih mana-mana penulis sebagai penulis yang aku minati, asalkan karya itu sedap dibaca sudah cukup memberi aku inspirasi. Di samping itu, mendengar muzik rock dan metal juga banyak memberi aku idea untuk mencipta karya. Muzik turut membantu dalam membuat aku lebih bersemangat untuk menulis. Bermula tahun 2009, aku mula menggunakan nama pena Rimara. Nama ini merupakan gabungan perkataan 'rima' dan 'mara' dimana perkataan-perkataan ini didapati apabila aku menyusun semula abjad-abjad daripada nama sebenarku.